Syafiq Kyle Kembali Bangkit Selepas Kontroversi Video Viral

Kontroversi melibatkan rakaman video yang mengejutkan rata-rata peminat pelakon ini diambang namanya melonjak naik hampir melenyapkan kepercayaan terhadapnya. Pelakon yang menjadi pujaan ramai, Syafiq Kyle kini kembali bangkit berdepan dengan realiti sebenar kehidupan.

“Ramai orang bertanya, di manakah saya mendapat kekuatan? Jujurnya, saya sendiri tidak tahu. Tetapi, saya hanya memikirkan masa depan kerjaya, selain air muka keluarga.

“Setiap manusia pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya pula tidak mahu berterusan berada dalam tekanan dan perasaan bersalah.

“Saya kena melangkah terus, tanpa langsung memandang ke belakang. Saya perlu bersikap ‘gentleman’, bukan lari daripada masalah atau kontroversi.

“Ayah berpesan, saya kena berani menghadapi apa juga ujian yang datang. Mungkin sekarang Allah menimpakan sedikit ujian. Mungkin pada masa akan datang saya berdepan pula dengan situasi lebih berat dan mencabar. Segala-galanya saya tidak tahu.” Kata pelakon drama Nur itu

Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak berkata, dia sudah terbiasa dihimpit kontroversi. Namun, kontroversi yang menghimpitnya dulu tidak seberat isu yang mengaitkan dirinya dengan kes rakaman video yang tersebar beberapa bulan lepas.

“Ketika berdepan dengan kontroversi, apa yang lebih penting, saya kena pilih orang sekeliling yang dapat memberikan nasihat yang betul, bukan mengeruhkan lagi keadaan. Apa saja tindakan saya akan memberi kesan sekiranya tersilap langkah.

“Saya bersyukur apabila keluarga, syarikat pengurusan dan teman baik sentiasa bersama saya. Sepanjang enam tahun menjadi pelakon, mustahil saya tidak belajar untuk berdepan kontroversi.

“Apa saja kontroversi atau cerita yang bakal mengaitkan saya dengan kisah panas, semuanya saya harus bersedia mendepani.

“Saya tidak sesekali melatah dan tertekan, biarpun kadang kala apa yang berlaku bukan silap saya. Pada masa sama, saya harus bijak mengawal diri supaya tidak terus terperangkap dalam cengkaman kontroversi yang bagai tiada penghujung.” Jelasnya

Pasti ada sebilangan anda yang masih tidak boleh ‘move on’ dengan drama Nur kan?

Jangan risau! Anda boleh menonton semula dengan layari kami di Tonton!

Ditulis Oleh : Nik Nur Amira

Ad Ops