Syatilla Melvin & Shaheizy Sam Syukur Sambut Ulang Tahun Perkahwinan Di Tanah Suci, Dapat Solat Dalam Hijr Ismail – “Takkan Lupa Sampai Mati’

Pelakon dan usahawan, Syatilla Melvin meluahkan rasa syukur yang tak terhingga apabila dapat meraikan ulang tahun perkahwinan bersama suaminya yang juga seorang pelakon, Shaheizy Sam di tanah suci Makkah.

Menerusi perkongsian di Instagram, Syatilla memuat naik foto bersama suami di Masjidil Haram, Makkah

“Allahu Akhbar. Alhamdulillah syukur untuk rezeki luar biasa ini Ya Allah.

“Bersaksikan Kaabah, berhadapan pintu Kaabah dan Multazam, Engkau rezekikan kami untuk menyambut ulang tahun perkahwinan kami ketujuh Ya Allah,” kongsinya.

Dalam pada itu, Syatilla juga turut mendoakan agar segala doa dia dan suami diterima yang maha esa selain berkata dia tidak akan melupakan momen indah tersebut sehingga akhir hayatnya.

“Moga terkabul segala hajat dan doa kami. Takkan lupa sampai mati.

“Selamat ulang tahun sayang,” ucap Syatilla.

Meninjau di ruangan Instastory Syatilla pula, dia memuat naik semula perkongsian kakaknya, Syafiqa Melvin yang menyatakan semalam adalah hari ulang tahun kelahiran Syatilla.

“Rare eh birthday dia tahun ni, sambut dekat Makkah, rezeki hang, semoga itu, semoga ini,” tulis Syafiqa.

Lebih manis, Syafiqa turut memuat naik foto mereka berswafoto di hadapan Kaabah dan menganggap ia hadiah terbesar buat Syatilla kerana dapat solat dalam Hijr Ismail.

“Hadiah terbesar untuk dia, dapat solat dalam Hijr Ismail semalam selepas berhari-hari gagal masuk, berjuta manusia, Allah selit rezeki,” kongsinya lagi.

Untuk info, Syatilla dan Sam berkahwin pada 8 Februari 2016 dan kini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy, Sarima Samheizy dan Salama Samheizy.

Khairil Khusyairi