Syed Saddiq Jawab Salam Yasin Sulaiman – “Bukan Satu Tugas Mudah, Tapi..”

Baru-baru ini, nama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ‘dipetik’ oleh penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman yang ditahan atas pertuduhan menanam dan memiliki pokok ganja.

Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook rasminya, Saddiq menjelaskan penggunaan ganja dalam bidang perubatan giat diusahakan daripada tahun 2018 dan mengakui ia bukan satu tugasan yang mudah.

Saddiq bagaimanapun turut mendedahkan bahawa beliau tetap menegakkan pendiriannya mengenai penggunaan ganja dalam bidang perubatan untuk diberi kelulusan.

“Saya menerima satu laporan dan klip video tentang seorang penggiat seni yang ditahan kerana terlibat dalam aktiviti ganja dan dadah.

“Saya tidak akan mengulas berkenaan kes ini dan akan serahkan kepada pihak mahkamah dan peguam. Saya tidak mahu menggangu perjalanan kes. Saya cuma nak ulang pendirian saya dalam isu penggunaan ganja/kanabis,” katanya.

Sementara itu, Saddiq turut menegaskan bahawa pendiriannya adalah berdasarkan fakta dan sains, bukan mengikut trend atau ‘cakap-cakap orang’ seperti didakwa oleh segelintir pihak.

“Sejak menjadi menteri pada 2018-2020, saya konsisten dalam menggesa kerajaan untuk membenarkan penggunaan ganja dalam bidang perubatan (medical cannabis).

“Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah bekas menteri, Dr. Dzulkefly Ahmad pun ada keluarkan beberapa kenyataan tentang kesediaan KKM untuk membuka ruang kajian perubatan kanabis di Malaysia.

“Ia juga disambut dan diteruskan di bawah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sekarang.

“Keputusan dan gesaan ini dibuat kerana kita ikut fakta, data dan sains. Bukan buat sebab’trend; atau ‘cakap-cakap orang’. Ia boleh dijadikan sumber rawatan alternatif untuk banyak pesakit.

“Saya pernah berbahas dalam Dewan Rakyat tentang potensi perubatan kanabis jika ia dibenarkan di Malaysia.

“Lebih 40 buah negara sudah membenarkan penggunaan kanabis untuk perubatan. Nilai pasaran industri ini cecah RM60 bilion,” ujarnya lagi.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut memaklumkan beliau akan berusaha dan bakal mengambil tanggungjawab untuk memastikan permohonannya itu mendapat kebenaran dan pencerahan lebih lanjut.

“Saya sendiri ambil tanggungjawab dalam memperkenalkan industri ini di negara kita.

“Ini bukan satu tugas yang mudah tetapi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk pastikan ada perkembangan yang baik nanti,” ujarnya.

Aqilah Paharuzi