Tahniah! Rea Kool FM Nikah 18 November

Bakal tamatkan zaman bujang November depan, penyampai radio Kool FM, Rea terkejut apabila permintaan untuk berkahwin di Kuala Lumpur mendapat persetujuan bapanya.

Kata penyampai berusia 29 tahun ini, pada mulanya dia bimbang mendapat bantahan.

“ Saya terkejut apabila keinginan untuk adakan majlis di KL dipersetujui ayah. Saya fikir, mungkin dia mahu ia direalisasikan di kampung kami di Seberang Takir, Terengganu.

“ Ayah mungkin faham ramai kenalan dan anggota keluarga kami juga berada di sekitar ibu negara, tambahan pula majlis di pihak lelaki berlangsung serentak,” katanya. 

Tambah Rea atau nama sebenarnya Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad segala persiapan kahwin yang berbaki dua bulan lagi telah selesai.

“ Alhamdulillah, keluarga banyak membantu. Berdebar juga sebenarnya ni,” kata Rea yang bakal bernikah di Damansara pada 18 November.

Rea bertunang dengan pemain dram kumpulan Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim pada Februari lalu selepas setahun perkenalan. 

SGMS Faida