Tahniah! Selamat Diijabkabulkan, Sabri Yunus Kini Suami Kepada Angeline Tan – “Mula-Mula Rapat Tiga Tahun Lalu…”

Pelakon dan pengarah, Sabri Yunus telah selamat mendirikan rumah tangga bersama aktres, Angeline Tan, pagi tadi.

Menerusi perkongsian Issey Fazlisham di Instagram, dia memuat naik gambar bersama pasangan suami isteri itu dan sekitar majlis pernikahan mereka.

“Selamat pengantin baru Abang Sabri Yunus dan Kak Ardini atau Angeline Tan. Alhamdulillah. Kami sangat gembira.

“Semoga Cinta Wan Ismail Golok dan Lucy kekal sampai ke syurga. Pimai pimai tang tu,” ujar Issey.

Memetik laporan Utusan, Sabri memberitahu sudah tiga tahun merancang untuk mendirikan rumah tangga namun menunggu Angeline untuk bersedia memeluk agama Islam.

“Alhamdulillah, benar kami baru sahaja bernikah sebentar tadi. Tak tahu macam mana nak cerita, tetapi kami berdua bersyukur majlis pernikahan ini dipermudahkan.

“Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Tetapi kami mula betul-betul rapat tiga tahun lalu. Malah, dua-dua pun pernah merasakan kehilangan. Susah senang, sihat sakit saling menemani.

“Tetapi saya tunggu dia untuk sedia peluk Islam. Alhamdulillah, awal Oktober hari itu dia memeluk Islam dan kami terus merancang untuk menikah hari ini,” katanya teruja.

Dalam pada itu, Sabri turut bersyukur apabila anak dan keluarga kedua-dua belah pihak merestui niat mereka untuk berkahwin.

“Alhamdulillah, anak-anak kami merestui. Malah, keluarganya juga hadir ke majlis pernikahan kami.

“Saya berharap agar doa-doa yang baik daripada kalian dimakbulkan. Banyak perkara yang mungkin dia (Angeline) tak tahu. Berilah peluang kami berdua belajar.

“Apa yang penting keredaan dia menerima agama baharu dan juga niat kami berdua untuk sama-sama melayari bahtera perkahwinan ini hingga akhir hayat,” jelasnya.

Tambahnya lagi, mereka tidak mengadakan majlis resepsi hanya majlis pernikahan sahaja.

Sekadar info, Sabri dan Angeline mula berkenalan semasa berlakon di dalam sitkom popular era 90-an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang membawa watak sebagai Lucy dan Wan Ismail Golok.

Maya Basir