“Tak Ada Wow Factor!” – Syafinaz Selamat

Minggu kelapan Mentor Milenia 2019 menyaksikan tiada penyingkiran dan ketujuh-tujuh protege berjaya mara ke peringkat separuh akhir. Walau bagaimanapun, juri profesional, Datuk Syafinaz Selamat masih tidak berpuas hati dengan tahap peningkatan mereka memandangkan tinggal hanya dua minggu lagi untuk ke peringkat akhir. 

“Pada saya protege menunjukkan peningkatan tapi kami masih belum lagi dapat the ‘Wow’! Diorang semua pada saya lebih kurang sama tahap, tak ada yang betul-betul bagus, dan tak ada yang betul-betul teruk. 

“Kalau kita tengok battle penyingkiran tadi, kedua-dua mereka berentap. They fought for their lives. Jadi sebagai juri, kami nampak Daus dan Rika, kedua-duanya mempunyai semangat berlawan dan oleh itu, kami rasa kami patut bagi mereka peluang untuk ke peringkat separuh akhir,” jelas Syafinaz. 

Tambah Syafinaz lagi, mentor perlu tahu kemampuan protege masing-masing di samping mencari jalan untuk membimbing mereka mengatasi segala kelemahan dan menonjolkan bakat yang ada.

Jelasnya lagi, protege juga harus menerima segala cabaran yang dilontarkan oleh mentor mereka dan cuba sedaya upaya untuk merealisasikan visi mentor mereka setiap minggu kerana mereka sudah kesuntukan masa untuk menarik perhatian penonton dan juri supaya dapat ke peringkat akhir. 

“Saya selalu cakap, singing is a skill. Mereka semua ni ada mentor…sepatutnya korek ilmu dari mereka. Semua orang boleh asah bakat menyanyi tu. Jadi buat bersungguh-sungguh.

“Bukannya tak boleh buat. Setiap orang mampu melakukan apa yang orang lain mampu lakukan dengan bagus. Sama ada nak dengan tak nak saja. Semangat tu kena ada!

“Saya nak tengok kelainan dari setiap protege. At the end of the day, this is a competition. Yang menang hanya satu. Berapa ramai pun yang tinggal, kami hanya akan pilih seorang saja pemenang. Jadi buatlah sehabis baik!” kata Syafinaz lagi. 

Kredit Foto: Zek

Del14