Tak Dapat Jumpa Anak-Anak, Farid Kamil Dihalang Masuk Ke Rumah Sejak Awal Bulan?

Peguam syarie yang mewakili pelakon Diana Danielle, Datuk Akberdin Abdul Kadir mengesahkan pelakon Farid Kamil tidak dapat memasuki kediaman sejak awal bulan ini tetapi punca sebenar tidak didedahkan.

Memetik laporan Berita Harian, pihaknya diarahkan melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan cerai.

“Melalui JKP, wakil dilantik akan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian, sebelum hasil perbincangan dikemukakan kepada mahkamah.

“Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan,” ujarnya.

Difahamkan, pelakon utama filem Anwar: The Untold Story juga tidak dapat berjumpa dengan anak-anaknya.

Perkara tersebut dimaklumkan pada prosiding permohonan cerai yang difailkan oleh Diana di Mahkamah Syariah Petaling, Subang Bestari, pagi tadi.

Permohonan cerai yang difailkan Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson telah dibuat pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Menurut pelakon Imaginur itu, alasan permohonan adalah kerana tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak dapat lagi hidup sebagai suami isteri.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Maya Basir