“Tak Perlu Pun, Itu Privasi!”- Dakwaan Jalin Hubungan Cinta, Ezzrin Loy Tak Selesa Video Dengan Sharifah Rose Ditularkan

Gosip yang mendakwa pelakon Ezzrin Loy dan Sharifah Rose sedang hangat bercinta masih hangat diperkatakan apatah lagi pasangan ini kerap berkongsi video bersama-sama di media sosial masing-masing.

Namun, tidak mahu gosip itu terus ditularkan, adik kepada Elfira Loy iaitu Ezzrin Loy menegaskan, dia berasa kurang selesa apabila video dia menuruni eskalator bersama Sharifah Rose yang dirakamkan secara sembunyi masih viral.

Memetik laporan Harian Metro, Ezzrin atau nama penuhnya, Ahmad Ezzrin Loy, 26, berkata, video tersebut merupakan video privasi bukan sahaja untuk dirinya tetapi melibatkan ramai pihak.

Malah, spekulasi yang mengatakan mereka keluar berdua juga adalah tidak tepat kerana rakan mereka juga ada bersama-sama.

“Ia membabitkan privasi orang lain, jadi rasanya tak perlu disebarkan. Banyak lagi isu lain lebih penting daripada cerita turun eskalator.

“Kami baru habis makan tengahari bersama rakan selepas pulang bermain golf.

“Saya kurang selesa apabila video ini diambil secara sembunyi dan ditularkan,” katanya.

Terdahulu, Ezzrin menjelaskan dia dan Sharifah Rose hanyalah sekadar teman rapat kerana sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut mengenai sejauh mana keakraban dan status hubungan mereka setakat ini kerana menghormati privasi aktres itu.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin