Tak Rasa Beban Pun, Saya Okay!

Pelakon ini membuktikan memegang status berkahwin tidak menghalang dirinya untuk terus diminati.

Malah, pelakon Alif Satar tidak pernah rasa terbeban melayan peminat memandangkan mereka menghormati kehidupan peribadinya.

“ Sokongan peminat menjadi sebahagian daripada pencapaian popularity Alif.

“Setakat ini, tidak pula saya pernah berasa terbeban melayan peminat. Apatah lagi, semua peminat saya okey,” katanya di majlis berbuka puasa bersama ASOFC di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Alif, sokongan padu peminat kepadanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga sangat bermakna.

“Bukan mudah untuk saya berada pada tahap sekarang. Jadi, saya amat menghargai apa yang diperoleh ini.

“Malah, apa yang giat saya lakukan kini adalah berusaha mempertahankan populariti dimiliki kekal di tahapnya.

“Bagaimanapun, terima kasih diucapkan kepada semua ahli kelab peminat saya yang sentiasa aktif memberi sokongan,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya bagaimana dia memastikan ruang peribadinya dan keluarga tidak diganggu peminat, Alif berkata, cukup baginya berkongsi sekadar yang perlu.

“Dalam era perkembangan teknologi masa kini, saya tak nafikan pengaruh media sosial agak besar kepada selebriti.

“Namun, saya sentiasa pastikan berkongsi foto dan aktiviti keluarga yang sesuai bersama peminat,” kataya.

Alif dan Sha Dila mendirikan rumah tangga pada 15 September 2014 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, 3, dan Ariana Mecca.

SGMS Faida