Categories: HiburanTrending

Tak Sama Pendapat Dengan Universal Music Group, Siti Nurhaliza Teguh Pendirian Tetap Pertahankan Palestin

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan pendiriannya masih kekal teguh menentang kezaliman yang berlaku di Palestin meskipun syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music Group (UMG) menyatakan sokongan terhadap Israel.

Terkejut dengan pendedahan UMG, Siti memberitahu dia bukan artis di bawah naungan wakil syarikat terbabit dan hanya berkerjasama dengan Universal Music Malaysia bagi tujuan pengedaran album serta lagu sahaja.

“Saya percaya pendirian Universal Malaysia tidak sama. Apa yang disuarakan UMG itu tidak sama langsung dengan pendirian saya. Saya tetap menyokong Palestin.

“Universal Music Malaysia bekerjasama dengan saya hanya sebagai pengedar. Saya bukan artis bawah naugan syarikat tersebut,” jelasnya.

Pelantun lagu Anta Permana mengulas perkara itu ketika ditemui XTRA selepas pelancaran BeauSiti memperkenalkan wajah baharu mereka, Rita Nadira di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Dalam pada itu, Siti yang menghormati penderitaan penduduk Palestin mengambil keputusan untuk menangguhkan perancangan konsert meganya yang dijadualkan bakal berlangsung Mac depan.

Menurut penyanyi Biarlah Rahsia itu, dia mahu menggantikan konsert mega dengan satu majlis amal yang memberi fokus untuk mengumpulkan dana dan disalurkan ke tabung Palestin.

“Perancangan untuk konsert saya tangguhkan kerana kita berdepan dengan isu sensitif.

“Tapi saya bercadang untuk melakukan majlis amal di bawah yayasan saya, Yayasan Nurjiwa untuk mengutip dana dan sama-sama bersolidariti. Ini yang apa saya sedang fikirkan,” ujarnya kepada XTRA.

Sementara itu, bertanya lanjut mengenai undangan untuk menjayakan persembahan, Siti mengakui dia masih sahaja menerima tawaran tetapi perlu meneliti terlebih dahulu latar belakang majlis tersebut.

Baginya, sebarang persembahan yang bersifat tertutup tidak akan dipamerkan di media sosial sebagai tanda hormat dan sensitif terhadap isu Palestin.

“Hidup perlu diteruskan. Tetapi kalau kita buat aktiviti menyeronokkan lebih baik usah terlalu berkongsi di media sosial. Kita perlu menunjukkan solidariti kita terhadap Palestin.

“Sekarang ini kalau ada undangan menyanyi pun saya akan cuba selitkan dengan lagu-lagu ketuhanan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Siti terus menyeru rakyat Malaysia agar sentiasa menyalurkan sumbangan secara serta terus berdoa tanpa putus agar Palestin memperoleh kemenangan.

Syamir Shafie