“Tak Sangka Akan Viral, Saya Hanya Kongsi…” – Daiyan Trisha Akui Akrab Dengan Aedy Ashraf

Penyanyi dan pelakon, Daiyan Trisha mengakui mempunyai hubungan yang akrab bersama aktor terkenal, Aedy Ashraf.

Nama mereka menjadi perbualan hangat dan sering dikaitkan mempunyai hubungan istimewa, lebih-lebih lagi setelah menonton konsert Coldplay di Stadium Wembley, London baru-baru ini.

“Saya dan Aedy berkawan baik. Kami sudah kenal lama dan mula akrab selepas berlakon dalam drama Dee The Series.

“Kami berjanji untuk menonton konsert Coldplay kerana meminati kumpulan itu. Rasanya tidak salah kami pergi menonton bersama-sama. Kami bukannya pergi berdua, sebaliknya, diiringi beberapa rakan,” katanya.

Disoal sama ada pelantun lagu Penat itu sedar akan namanya bersama Aedy disebut-sebut setelah video mereka tular, Daiyan berkata dia tahu namun tidak menyangka perkara tersebut akan menjadi kecoh.

“Tak dinafikan orang akan buat pelbagai spekulasi tapi saya memilih untuk tidak mengambil tahu mengenai apa orang lain akan cakap.

“Saya tidak takut dikecam peminat atau orang hendak membuat spekulasi yang bukan-bukan mengenai kami. Ini kerana kami adalah rakan industri.

“Lagipun, memang kami menonton konsert itu bersama. Jadi, kenapa saya perlu sembunyikan perkara betul.

“Saya muat naik hantaran di laman sosial sekadar ingin berkongsi kegembirana kerana dapat menonton konsert kumpulan yang saya minati,” katanya yang ditemui semasa sidang media pengumuman calon akhir Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-23 di Pavillion, Kuala Lumpur, semalam.

Daiyan mempertaruhkan karya berjudul Penat berkolaborasi bersama penyanyi rap Tuju dan lagu terbabit tersenarai dalam senarai Top 5 kategori Lagu Pop Terbaik dan Muzik Video Terbaik.

Aqilah Paharuzi