Tak Sia-Sia Jadi ‘Ustaz Adam’, Shuk Sahar Bawa Pulang RM 100,000!

Strategi pelawak Shuk Sahar yang menggunakan jalan cerita drama Nur 2 di pentas final Bintang Bersama Bintang 2019 (BBB2019) akhirnya membuahkan hasil apabila muncul sebagai juara, malam tadi.

Shuk yang ditemui sejurus diumumkan sebagai pemenang amat berterima kasih kepada pasangan gandingannya iaitu Jihan Muse dan Azhan Rani.

“ Susah saya nak pujuk Jihan yang pada awalnya tidak berminat untuk sertai mana-mana pertandingan lawak lagi. Alhamdulillah selepas dipujuk banyak kali, Jihan dan Azhan bersetuju untuk lakukannya,” katanya kepada XTRA.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohammed Sahar dilihat antara peserta yang sering mendapat pujian di persembahan mingguan di BBB 2019.

Membawakan watak Ustaz Adam dalam persembahan komedinya, Shuk berganding dengan Jihan Muse sebagai Nur serta Azhan Rani yang dikecam dengan watak Ustaz Syed Hamadi.

Kemenangan Shuk itu sekali gus menyaksikan empat pelawak lain tewas iaitu Achey atau Nasir Hamzah, 33, Sharif Kadir Doli Shatif (Sharif, 29), Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad (Mamak Puteh, 34) dan Mohd Azwan Sabri (Chiwan, 33).

Program BBB 2019 disiarkan selama lapan minggu di TV3 dengan kesemua peserta bertanding kali ini pernah menang RM10,000 setiap minggu.

BBB 2019 turut dibarisi oleh juri tetap Saiful Apek dan Mark Adam manakala Elly Mazlein sebagai pengacara.

Antara selebriti yang menjadi tetamu undangan untuk persembahan pada malam kemuncak Super BBB 2019 ialah Datuk Afdlin Shauki, Fikry Ibrahim, Heliza Helmi dan Black Hanifah.

SGMS Faida