Takut Perkara Sama Berlaku Selepas Berkahwin, Farahdhiya Akui Emosi Terganggu

Penyanyi dan pelakon Farahdhiya mengakui emosi terganggu apabila membaca berita mengenai keganasan rumah tangga yang melibatkan golongan selebriti.

Memetik laporan Kosmo, pendedahan kisah-kisah curang dan pukul isteri melahirkan perasaan takut pada dirinya untuk mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, dia akhirnya membuat keputusan untuk tidak terlalu aktif di media sosial bagi mengelak daripada membaca berita seperti itu.

“Saya akui sekarang memang kurang bermain media sosial. Saya banyak mengikuti laman berita yang sejak akhir-akhir ini melaporkan kisah yang tidak seronok untuk dibaca.

“Sebagai contoh kemalangan dan juga keganasan rumah tangga. Bila saya baca berita-berita sebegitu, saya berasa agak tertekan. Emosi saya jadi terganggu. Saya pun tidak tahu kenapa,” ujarnya.

Selain emosi terganggu, pelantun lagu Bertakhta Di Hati ini takut perkara yang sama berlaku kepada dirinya selepas berkahwin suatu hari nanti.

“Bila baca kisah-kisah keganasan rumah tangga, memang emosi saya akan terganggu. Bagaimanalah saya nak berkahwin nanti?

“Saya takut jika terkena pada diri sendiri. Sepatutnya untuk para suami, jika sudah ambil anak orang secara elok, jika mahu dipulangkan semula pun biarlah dengan cara elok.

“Ini tidak. Ada yang sampai memukul hingga membunuh. Saya rasa seram. Apa nak jadi dengan dunia ini?,” katanya.

Maya Basir