Tampil Dengan Fesyen Berlitup Persis Kim Kardashian & Janna Nick, Baju Che Ta Ini Cecah Puluhan Ribu Ringgit

Pastinya penampilan artis popular, Rozita Che Wan atau Che Ta pada majlis Kuala Lumpur Fashion Awards (KLFWA) 2021 yang berlangsung di Hotel Shangri La pada Rabu begitu mencuri perhatian.

Tampil sebagai ‘muse’ kepada pereka fesyen terkenal, Ezuwan Ismail, Che Ta dilihat mengenakan jaring atau ‘net’ yang bertahtakan berlian sehingga menutup mukanya persis fesyen yang pernah digayakan oleh selebriti popular Hollywood, Kim Kardashian dan Janna Nick pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-34 (ABPBH34) lalu.

Difahamkan, gaun yang dipakai oleh pelakon dan usahawan ini direka menggunakan fabrik jenis twill yang dijahit dengan 5,000 butir berlian dan ‘Chunky bead’ yang dianggarkan berharga RM50,000.

Malah, proses untuk menyiapkan busana tersebut juga mengambil masa selama sebulan.

Walaupun, ramai yang terkejut dan kagum dengan penampilan Che Ta namun, ada segelintir netizen yang mengecam penampilan beliau kerana disifatkan gaya tersebut begitu melemaskan.

Bagaimanapun, Che Ta menegaskan pelitup muka itu hanya menggunakan kain jaring dan mempunyai udara untuk bernafas.

“Lagipun penutup muka itu menggunakan kain jaring yang terang-terang ada lubang atau udara. Memanglah saya boleh bernafas.

“Kalau guna kain yang bertutup semua tanpa ada udara, saya sendiri fikir banyak kali. Barangkali semput juga saya jadinya,” katanya.

 

 

Salma Syahbuddin