Tampil Seksi Nampak Lurah Dada, Ruhainies Mohon Maaf & Jelas Punca Sebenar – “Saya Tergesa-Gesa Nak Pergi Majlis…”

Pelakon Ruhainies tampil memohon maaf diatas pemakaiannya yang mendedahkan lurah dada ketika menghadiri sebuah acara fesyen baru-baru ini.

Memetik laporan mStar, Ruhainies atau nama sebenar Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, menjelaskan keadaan tergesa-gesa punca tidak sempat mencuba lapisan inner yang dibeli sehari sebelum hadir ke majlis.

“Saya mohon maaf atas apa yang berlaku. Salah saya sendiri pakai baju inner yang menampakkan bahagian dada.

“Ketika itu saya tergesa-gesa hendak hadir ke majlis pelancaran sebuah butik sampai tak sempat cuba inner yang saya baru beli sehari sebelum majlis.

“15 minit sebelum majlis baru saya pakai baju tersebut. Bila dah pakai, barulah saya perasan,” jelasnya.

Menerusi perkongsian Ruhainies di Instagram, dia dilihat meletakkan tangan pada dadanya di setiap foto untuk menutup bahagian terdedah itu.

Sementara itu, dia turut memberitahu rakan-rakan yang hadir ke majlis turut terkejut melihat penampilannya yang tampil berani dan seksi dalam berfesyen.

“Kawan-kawan yang datang ketika itu pun ada yang terkejut sebab sebelum ini saya tidak pernah seksi sebegitu. Selain kecaman, banyak juga komen di media sosial yang kecewa dengan penampilan tersebut.

“Pada hari itu saya ada tiga acara, jadi selepas majlis pelancaran itu saya terus beli inner baru dan menukarnya,” ujarnya.

Pada masa sama, dia berjanji kejadian sama tidak akan berulang lagi malah dia berpegang kepada prinsip dalam pemilihan gaya ketika menghadiri majlis.

“Saya ada prinsip tidak akan pakai terlalu seksi apabila hadir mana-mana majlis. Selama ini pun saya amat menjaga penampilan supaya tidak keterlaluan.

“Saya janji kejadian seperti ini tidak akan berulang lagi. Saya akan lebih berhati-hati,” katanya.

Maya Basir