Tarian Tak Senonoh Di Majlis Kahwin Anak, Normah Tak Mahu Komen

Gara-gara sebuah video yang memaparkan persembahan penari lelaki menyerupai wanita di perkahwinan pelakon Ahya Rosli baru-baru ini, ibunya Normah Damanhuri enggan mengulas lanjut mengenai hal ini.

Video yang dimuatnaik oleh kakak pengantin, Liana Rosli mula tular dan menerima kecaman netizen apabila dianggap persembahan itu tidak sesuai diadakan di majlis perkahwinan.

“ Saya tak nak komen lebih-lebih. Apa yang saya tahu, anak sudah selamat bernikah.

“ Pasal jemputan itu (penari), keluarga sama-sama tahu. Saya tak nak komen lebih-lebih, nanti panjang cerita,” komennya ringkas.

Dalam pada itu, Ahya dalam satu kenyataan di sebuah portal hiburan lain berkata, persembahan itu sekadar hiburan untuk tetamu pada majlis itu.

Katanya, dia enggan melayan kutukan serta kritikan warganet kerana menganggap pengisian majlis itu adalah haknya sebagai tuan rumah.

Dia juga menganggap warganet yang mengecam tindakan pihaknya menjemput penari itu sebagai tiada kerja selain daripada mahu mengganggu kehidupan orang lain semata-mata.

Ahya dan pasangannya, Shahirah Sanusi berkahwin pada 29 Mac lalu di Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur.

Oleh: Endy Ashari

 

SGMS Faida