Categories: HiburanTrending

Tawaran Berlakon Mencurah-Curah, Jadual Padat… Meerqeen Tak Sempat Bercuti Demi Kerjaya Seni

Pelakon Meerqeen memberitahu dia tidak mempunyai masa untuk bercuti panjang bagi merehatkan diri.

Terikat dengan jadual penggambaran yang padat, Meerqeen belum mempunyai waktu yang sesuai untuk lari sebentar daripada tuntutan kerjanya.

“Tahun ini saya memang tiada masa untuk rehat. Perancangan nak bercuti Disember pun saya batalkan sebab ada penggambaran,” katanya.

Pemilik nama sebenar Muhammad Shameer Shauqen Shaiful Izam itu lebih rela berkorban masa dan tenaganya demi memastikan pola kerjayanya di masa hadapan kelihatan teratur serta berkualiti.

“Bagi saya, biar penat tahun ini supaya tahun depan boleh bertenang. Semua filem dan drama yang saya lakonkan akan ditayangkan tahun hadapan,” katanya.

Memetik mStar, pemenang trofi Aktor TV Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 itu telah merancang dan menyusun baik setiap tawaran lakonan untuk tahun hadapan supaya dirinya dapat melakonkan watak yang bervariasi.

“Bagaimanapun saya akan terus berlakon bukan saya nak rehat terus sepanjang tahun 2024. Cuma saya tak nak melakukan perkara sama dalam lakonan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai kritikan dan kecaman yang didepani, teraju utama Melur Untuk Firdaus itu tidak ambil peduli malah tidak juga sesekali mematahkan semangatnya untuk berjuang dalam industri seni tanah air.

Baginya, dia perlu memberi tumpuan kepada kerjayanya sahaja tanpa terlalu memikirkan cacian atau makian orang terhadap dirinya.

“Setiap manusia akan menghadapi situasi orang tidak senang melihat dia berjaya. Saya bukan nak puaskan hati semua orang.

“Saya bekerja untuk diri sendiri. Saya tidak pernah patah semangat denga kata-kata negatif,” jelasnya lagi.

Sumber : mStar

Syamir Shafie