Terbaiklah! Joe Flizzow Diiktiraf Artis Terbaik Asia Tenggara

Tahniah! Penyanyi hip hop popular, Joe Flizzow memenangi kategori Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan, Joe dengan rendah diri mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menyokong karier seninya selama ini.

“ Dengan kemenangan ini saya berharap generasi muda tidak pernah berhenti bermimpi dan terus berusaha sehingga menjadikan mimpi itu jadi kenyataan.

“ Saya dedikasikan anugerah ini buat keluarga, pengurusan Sony Kartel dan pengurus, Yaniz Merican.

“ Terima kasih atas kesetiaan dan dedikasi anda semua terutama peminat yang sentiasa menyokong selama ini,” katanya.

Penyanyi yang mula dikenali sebagai anggota Too Phat ini mengalahkan penyanyi Afgan (Indonesia), IV of Spades (Filipina), Minh Hang (Vietnam), Slot Machine (Thailand), The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand).

Anugerah ini bersiaran secara langsung di Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol pada hari ini (5 November, jam 3 am waktu tempatan) untuk sesi karpet merah manakala penyampaian anugerah pada jam 4 am.

Anugerah berprestij ini bakal turut diserikan dengan persembahan artis antarabangsa seperti Nicki Minaj, David Guetta, Jason Derulo, Anne Marrie dan ramai lagi.

Pemenang Artis Terbaik Asia Tenggara ditentukan dengan mengundi di www.mtvema.com.

Bagi menyaksikan perkembangan lanjut mengenai anugerah ini, ikuti laman media sosial (Facebook, Instagram, Twitter dan Snapchat) @MTVEMA. Tahniah sekali lagi, Joe Flizzow!

SGMS Faida