Terbit Naskhah Tema Rompakan, Karya Syafiq Yusof Disamakan Dengan Money Heist?

Pengarah Syafiq Yusof tampil membuat kelainan dengan mengetengahkan pelakon wanita, Puteri Aishah sebagai peneraju utama dalam drama aksi terbaru, Special Force: Anarchy.

Menurut pengarah filem Abang Long Fadil ini, pemilihan pelakon wanita sebagai watak utama merupakan satu cabaran buatnya namun ia bersesuaian dengan jalan penceritaan yang ingin diketengahkan.

“Saya dan pasukan produksi mengambil cabaran membuat kelainan dengan mengetengahkan pelakon wanita sebagai watak utama.

“Inspirasi drama ini diambil menerusi filem arahan saya, KL Special Force pada 2018. Corak persembahan dalam drama ini juga boleh dikatakan lebih kurang dengan filem berkenaan.

“Bagaimanapun, ia bukanlah siri sambungan. Drama aksi Special Force: Anarchy ini memaparkan aksi kepolisan berbeza jalan cerita. Saya juga memerlukan karakter yang boleh melakukan aksi dan memberikan emosi.

“Kalau lihat dalam filem, hero sarat dengan babak pergaduhan. Tetapi, kami lakukan pembaharuan jalan cerita dengan mengetengahkan pelakon wanita selaku watak utama. Ini antara kelainan ditonjolkan,” katanya.

Namun, anak kepada pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam ini mengakui berdepan cabaran dalam penghasilan drama bersiri yang berlatar belakang negara fiksyen.

“Agak sukar untuk mengubah menjadi sesebuah negara lain. Disebabkan penggambaran dijalankan di ibu kota, jadi banyak logo dan bangunan ikonik Malaysia dapat dilihat.

“Banyak rakaman nampak seperti di Kuala Lumpur. Jadi, apa yang kami lakukan menggunakan kesan khas visual (VFX) untuk mengubah suasana.

“Itulah cabaran saya ketika proses suntingan. Kami perlu buat seperti berada di negara berbeza kerana mahu mengelakkan daripada sebarang isu sensitif,” ujarnya.

Selain itu, Syafiq tidak menolak kemungkinan drama arahannya bakal disamakan dengan siri popular, Money Heist yang disiarkan di platform penstriman digital, Netflix.

Bagaimanapun, dia menegaskan drama tersebut diinspirasikan daripada filem KL Special Force.

“Saya tidak nafikan sekiranya drama aksi itu berkonsepkan rompakan, orang akan bandingkan dengan drama Korea, Money Heist.

“Tetapi, apa yang saya boleh katakan ia adalah inspirasi daripada filem KL Special Force yang diterbitkan pada 2018 iaitu sebelum karya Money Heist itu wujud,” jelasnya.

Drama bergenre aksi tujuh episod itu mengisahkan perjalanan Iman (Puteri Aishah) sebagai pegawai polis muda yang berani dari sebuah negara fiksyen, Tenggara yang ditugaskan untuk menyiasat kes rompakan bank terancang akhirnya dipertemukan dengan satu kumpulan penjenayah berbahaya dan membuka lembaran rahsia besar.

Drama Special Force: Anarchy turut dibintangi penyanyi dan komposer tersohor, Datuk M Nasir yang menggalas watak sebagai dalang di sebalik rompakan Bank Tenggara dan ketua kumpulan Anarki.

Turut membintangi, Hasnul Rahmat, Alvin Wong, Johan As’ari, Fify Azmi, Chacha Maembong, Yusuf Bahrain, Anas Ridzuan, Elizabeth Tan, Dynas Mokhtar dan Steve Yap.

Drama aksi terbitan Skop Productions Sdn Bhd itu sudah ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar, sejak Sabtu lalu.

Maya Basir