“Poligami Itu Indah Kalau Suami Berlaku Adil” – Puteri Sarah

Pelakon Puteri Sarah menegaskan bahawa keputusannya untuk memfailkan cerai adalah jalan yang terbaik baginya dalam meleraikan kemelut rumah tangganya bersama suami, Syamsul Yusof.

Sarah yang ditemui XTRA di Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini, berkata, poligami itu indah jika suami berlaku adil kepada isteri.

“Sebenarnya poligami itu indah kalau seorang suami itu berlaku adil tapi sebab Sarah ditipu dan tak minta izin, benda pun dah terjadi, jadi saya rasa inilah jalan terbaik untuk Sarah.

“Alhamdulillah Sarah dah jalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri sebelum ini secara baik. I did my best. Sarah dah berbincang dengan keluarga, pertahan dan pergi jumpa ustaz dan ustazah untuk menyelesaikan masalah tapi sama juga.

“Ketika saya pergi umrah, saya juga berdoa supaya Allah tunjukkan jalan dan Allah memang dah tunjukkan semua. Saya rasa this is the best sebab bila solat istikharah dan buat sesuatu, Allah permudahkan dan beri ketenagan hati, ini adalah petunjuk yang Allah beri pada saya,” jelas Sarah.

Tambah Sarah, keputusannya untuk menfailkan cerai hari ini dibuat selepas berbincang dengan keluarga dan keluarga mertuanya.

“Saya dah lakukan yang terbaik dan ini adalah jalan terbaik buat saya.

“Saya seorang yang telus. Sebelum saya buat apa-apa memang saya akan berbincang jadi sebelum saya mulakan langkah besar ini, saya dah berbincang dengan keluarga Sarah bersama Datuk dan Datin, jadi mereka memang menghormati keputusan Sarah,” kongsinya.

Disoal mengenai keadaan dirinya, Sarah akui kini kesihatan mentalnya semakin baik.

“Alhamdulillah kesihatan mental sekarang baik tapi ketika kejadian tersebut berlaku tipu lah kalau saya cakap gembira, ketika itu memang badan susut, tapi sekarang Alhamdulillah semakin baik.

“Anak-anak masih tidak tahu apa-apa, mereka dalam jagaan mama Sarah dan kedua-dua belah keluarga. Anak-anak gembira saja macam biasa,” katanya.

Hari ini, Sarah memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah, Syamsul Yusof selepas berdepan kemelut rumah tangga sejak lima tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “This Is The Best For Me, Doakan!” – Puteri Sarah Fail Cerai

Untuk info, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam dan Summayah.

Khairil Khusyairi