“Tergamak Mereka Hina Saya” – Dihentam Teruk Dengan Rakan Industri, Shiha Zikir Pernah Hampir Nak B*n*h Diri

Penyanyi Shiha Zikir mendedah pernah terdetik dalam hati untuk menamatkan riwayat hidupnya gara-gara tidak tahan dengan kecaman yang dilemparkan di media sosial.

Memetik laporan Berita Harian, Shiha akui perasaannya ketika itu sangat tertekan sehingga hampir hilang pedoman namun dengan sokongan keluarga menghalangnya melakukan perkara yang bukan-bukan.

Sejak itu, pelantun lagu Irama ini semakin kuat dan matang dalam berdepan situasi yang boleh menjejaskan emosinya.

“Saya pernah cuba mencederakan diri dan terfikir tiada gunanya untuk saya teruskan kehidupan sebab saya tak tahan dengan kecaman.

“Apa dosa saya kepada mereka hingga tergamak hina saya? Kecaman netizen masih boleh diterima, tetapi apabila kata-kata itu datang daripada rakan industri sudah tentu melukakan hati.

“Mereka memandang rendah dan minta saya berdiri depan cermin sambil bertanya apakah saya layak berada dalam industri bersama mereka.

“Saya menangis apabila teringatkan kata-kata menghiris hati ini. Namun, bila merenung semula, saya nak ucapkan terima kasih kepada mereka yang menghina saya.

“Ada hikmah yang tersembunyi di sebalik perbuatan mereka itu. Mereka menjadikan saya lebih kuat dan tabah dalam menghadapi apa sahaja dugaan.

“Saya tidak lagi ‘lembik’ macam dulu. Malah, saya kini lebih tenang dan bersikap rasional terhadap apa sahaja kata negatif netizen terhadap saya,” katanya.

Terdahulu, namanya hangat diperdebatkan di aplikasi X gara-gara lagunya berjudul Kalam mara ke Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) serta melabelkan dirinya sebagai artis ‘sendu’.

Namun, Shiha kini mengambil pendekatan untuk tidak melenting dan hanya bersangka baik dengan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

“Apa yang penting, jaga kesihatan mental. Allah kurniakan rezeki dan saya tak nak sia-siakannya. Saya sekarang lebih kepada berlapang dada dalam menerima kritikan.

“Dulu kalau ada netizen tinggalkan komen bukan-bukan, saya akan balas, tapi kali ini saya biarkan sahaja. Mungkin apa yang mereka katakan ada kebenarannya, jadi saya ambil positif sahaja.

“Sekarang saya hanya nak berbaik dengan semua orang,” ujarnya.

Maya Basir