‘Syukur Peminat Belum Jemu’- Dayang Nurfaizah

Penyanyi Dayang Nurfaizah terharu dengan sambutan diterima di konsert Dua Dekad yang berlangsung di Panggung Sari Istana Budaya, malam tadi.

Akui Dayang, pada awalnya dia gementar untuk membuat persembahan di atas pentas gah apabila memikirkan respon penonton selepas tamat persembahan.

“Secara peribadi, konsert ini begitu istimewa buat saya. Saya amat bersyukur disokong oleh kelompok peminat yang tidak pernah jemu menyokong karier sejak 20 tahun lalu.

“Saya juga berkesempatan membawakan lagu-lagu yang belum pernah saya nyanyikan sebelum ini. Pada awalnya agak sukar untuk saya membuat pemilihan lagu.

“Alhamdulillah, segmen rangkaian lagu-lagu klasik nyanyian asal Allahyarham Puan Sri Saloma meninggalkan kesan bukan sahaja meninggalkan kesan kepada peminat malah saya sendiri berpuas hati,”katanya.

Dayang yang menyambut ulang tahun kelahiran ke 38 pada 20 Julai lalu menyifatkan konsert Dayang Dua Dekad sebagai hadiah hari jadi paling bermakna.

Dayang yang menggayakan empat busana rekaan Datuk Rizalman Ibrahim juga berharap peminat yang tidak berkesempatan untuk menonton konsert di Istana Budaya dapat hadir di Singapura pada 28 Disember depan. 

SGMS Faida