Terkilan Tak Dapat Bantu Mangsa, Fikry Ibrahim Nekad Beli Kereta Baru Demi Misi Bantuan Banjir

Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim nekad mahu menghulurkan bantuan buat mangsa banjir yang terjejas akibat bencana tersebut.

Menurut Fikry atau nama sebenarnya, Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, bagi memudahkan urusan bantuan beliau kini telahpun membeli sebuah kereta jenis pacuan empat roda, Ford Ranger memandangkan tidak semua jenis kereta dibenarkan masuk ke kawasan terjejas.

“Tahun lepas saya juga buat usaha membantu mangsa banjir secara kecil-kecilan. Namun saya masih ingat apabila kami tidak boleh masuk ke sebauh kawasan banjir disebabkan masalah kenderaan yang dinaiki.

“Jadi, sebagai usaha dan tanggungjawab saya tahun ini, saya beli sebuah kereta.  Kalau nak beli untuk kegunaan diri sendiri fikir dua tiga kali juga tapi ini untuk misi bantuan banjir jadi saya nekad,” katanya.

Sementara itu, Fikry juga mengakui sedikit terkilan apabila tidak dapat menghulurkan bantuan sepenuhnya terhadap mangsa banjir dan inisiatif ini adalah sebagai persiapan awal untuk dirinya dan rakan-rakan.

“Sebelum ni bila tak dapat sampai ke kawasan terjejas tu memang terkilan, sebab boleh tengok mangsa dari jauh je.

“Tapi kali ni saya bersama rakan-rakan lain lebih sistematik supaya tak kalut untuk beri bantuan sebab segala keperluan sudah kami siapkan,” jelasnya.

Tegasnya lagi, orang awam adalah sumber terpenting dalam misi bantuan ini memandangkan segala urusan berkenaan bencana tersebut dibuat sendiri tanpa melibatkan mana-mana organisasi.

 

Sumber: Mstar

Salma Syahbuddin