Terpaksa Bohong Ibu Bapa, Amir Masdi Dedah Pernah Buat Show Tidak Berbayar

Penyanyi Amir Masdi mendedahkan dirinya pernah tidak dibayar membuat persembahan pada awal kariernya selepas menjuarai satu program nyanyian.

Menerusi podcast SYOK Confession Bilik Gelap, Amir atau nama sebenar Amir Syazwan Masdi bagaimanapun mengambil pengalaman tersebut sebagai satu ujian untuk memperbaiki diri.

“Ini saya tidak pernah ceritakan, malah ibu bapa saya tak tahu pun. Masa awal-awal selepas habis buat persembahan saya akan tanya pengurus berapa dibayar, dia cakap tidak ada.

“Ketika itu saya fikir macam inikah nasib penyanyi yang mana bersusah payah menyanyi, tapi tidak ada bayaran.

“Malah, saya masih ingat selepas habis program nyanyian, pergi sana sini nyanyi banyak lagu, tapi percuma saja.

“Waktu itu saya cakap pada diri, ini adalah platform untuk saya cari pengalaman dan memperbaiki diri. Ini adalah ujian, saya ambil sebagai halangan yang perlu hadapi. Mungkin masa itu saya dapat pengalaman dan pendedahan dan ia betul,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amir juga terpaksa berbohong kepada kedua-dua ibu bapanya kerana tidak mahu mereka bimbang.

“Apa yang sedihnya, balik rumah mak ayah gembira sebab saya ada show dan mesti mereka fikir dapat bayaran.

“Kalau mereka tanya, saya hanya cakap ada. Dalam hati saya sendiri yang tahu. Saya tidak mahu mereka risau. Jadi, saya pendam saja,” katanya.

Bukan itu sahaja, dia juga elak meluangkan masa dengan ibu bapanya bagi mengaburi mata mereka bahawa dia sibuk bekerja dan banyak tawaran menyanyi.

“Ketika mana saya tidak ada bayaran, masa itu tidur di studio. Saya ikut pengurus pergi jumpa orang berpengalaman dalam industri. Pendek kata saya banyak luangkan masa di studio untuk elak ditanya mak ayah.

“Lagi satu saya tidak mahu terkurung di rumah dan mengganggu fikiran yang saya tidak ada kerja. Jadi, saya memilih untuk berada di studio supaya kelihatan sibuk dan banyak kerja.

“Pendek kata, saya sebenarnya sibukkan diri untuk kaburi pandangan keluarga. Tetapi, dalam masa sama, di studio saya nak dapatkan pendedahan dan belajar banyak perkara berkaitan muzik,” luahnya.

Maya Basir