#ThrowbackXTRA: Berlakon Seawal Usia 5 Tahun, Fimie Don Tak Kisah Masih Digelar Putera Shazlan

Mula menceburi industri hiburan tanah air seawal usia lima tahun, pelakon Fimie Don tidak kisah sekiranya dirinya masih digelar Putera Shazlan sehingga hari ini.

Terdahulu, bakat lakonan Fimie mula dikenali sejak dia memegang watak utama dalam siri Hikayat Putera Shazlan yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen berbayar.

Menurut Fimie, dia berasa lega apabila penggemar seni lakonan tanah air masih mengingati watak yang pernah dilakonkannya pada 2007 yang lalu.

“Saya okay je. Saya tak kisah kalau orang kenal saya sebagai Hikayat Putera Shazlan. Baguslah, saya rasa lebih baik saya ada satu cerita yang takkan pernah dilupakan daripada banyak cerita yang orang akan lupa,” katanya.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Fimie ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana dan Sidang Media Drama Bersiri Nenek Bongkok Tiga, baru-baru ini.

Fimie juga belum meneroka pelbagai watak untuk dijayakan dalam karya yang dilakonkan.

“Kalau ada cerita yang boleh menggantikan Hikayat Putera Shazlan itu, itu adalah rezeki saya.

“Sejujurnya saya masih belum explore semua watak lagi sebab saya rasa watak manusia ada banyak dan saya pun tak berlakon dalam banyak drama lagi,” katanya.

Fatin Nurain