Empat Tahun Sertai AJL, Khai Bahar Anggap Belum Ada Rezeki Menang – “Insya-Allah Kita ‘Try’, Jangan Berhenti”

Penyanyi popular, Khai Bahar menyifatkan kegagalan membawa pulang trofi pada Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) baru-baru ini sebagai pembakar semangat untuknya terus tampil dengan kelainan dalam persembahan pada masa akan datang.

Menurutnya, pada malam berprestij itu, dia hanya memberikan fokus terhadap persembahan berbanding mendapat tempat, kerana gelaran yang diraih pada malam itu lebih kepada memberi penghargaan kepada pencipta lagu.

“Bagi saya, malam tu saya memang nak fokus pada persembahan, dan untuk mendapat tempat tu saya rasa pencipta lagu lebih fokus kepada itu dan saya sebagai seorang penyanyi, lebih fokus untuk membawakan lagu Sengsara namun masih belum ada rezeki. Insya-Allah kita try next time,” katanya.

 

Walaupun sudah empat kali bertanding di pentas AJL, namun ia tidak mematahkan semangat pemilik nama Muhammad Khairul Baharuddin, 29, apabila dia menegaskan bakal membawa kelainan di pentas AJL seterusnya.

“Kita tengok dulu lagu apa yang kita dapat dan lagu apa yang saya akan keluarkan mengikut cita rasa pendengar di luar sana mahupun kualiti daripada juri-juri yang nak menilai lagu itu, Insya-Allah kita try. Mungkin dari segi kelainan yang lain? Kita jangan stop, Insya-Allah,” jelasnya.

 

Sementara itu, ketika ditanya adakah dia bakal menukar genre lagu kepada Balada dan Hip Hop memandangkan lagu tersebut sering menjuarai takhta AJL, Khai berkata, ia bergantung kepada citarasa peminat dan pendengar di luar sana.

“Macam saya , saya sendiri tak tahu apa citarasa orang di luar sana dan setiap pengkarya seni itu mengeluarkan lagu ada tujuannya dan Insya-Allah saya akan teruskan keluarkan lagu tapi Insya-Allah kalau ada rezeki tu ada lah…

” AJL ni semua orang nak dan inginkan, maklum lah masing-masing tidak putus asa untuk keluarkan karya-karya yang berkualiti termasuklah saya sendiri.  Insya-Allah kalau ada rezeki nanti adalah, yang penting kita bersabar dan teruskan sahaja.

“Lagipun kalau ikutkan saya bukan  jenis yang cepat mengalah dan apa yang saya nak buat, saya akan buat dan kekuatan saya adalah penyokong-penyokong saya.

“Mereka sentiasa menyokong saya terhadap apa sahaja yang saya lakukan. Dan saya hanya fokus kepada mereka dan lagu yang bakal dihasilkan nanti.

“Kepada semua penyokong di luar sana, Khai Bahar Empire terima kasih kerana sentiasa menyokong saya, karier saya, Saya sayang anda semua!,” jelasnya.

Terdahulu, Khai tampil sebagai peserta terakhir pada AJL37 menerusi lagu Sengsara ciptaan Firdaus Rahmat, Jeevasingham John dan Omar K selain berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Pilihan Alha Alfa.

 

Salma Syahbuddin