#ThrowbackXTRA: Pernah Jadi Hantu, Dahi Kena Sabit Sampai Berdarah… Shahidan Izwan Tak Mudah Putus Asa

Nama pelakon Shahidan Izwan kian bersinar menerusi drama bersiri Ku Akad Kau Dengan Bismillah.

Biarpun dikenali sebagai bintang baharu, Shahidan sebenarnya sudah beberapa tahun menjinakkan diri dalam dunia hiburan.

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA, Shahidan berkongsi pengalaman awal dan asam garam dalam dunia lakonan.

Bermula dengan sekadar menjadi hantu dalam filem Munafik, Shahidan bagaimanapun tidak pernah berputus asa untuk menempa nama dalam industri hiburan.

Bahkan, pelakon kacak itu kini semakin aktif membintangi banyak drama di kaca televisyen.

Ini antara momen pahit yang tidak dapat dilupakan oleh Shahidan!

1. Kontroversi Hantu Munafik

“Dulu Munafik 1 dan Munafik 2, saya yang berlakon, lepas tu pernah diviralkan dahulu siapa yang pegang watak hantu dia. Yang pelik sekali sebab kita jadi hantu, tapi ada yang pertikaikan kenapa nak jadi hantu.

“Ada yang kecam, ada yang boleh terima. Ada yang cakap saya nak famous semata sebab tak ada rupa. Banyak juga kecaman yang diterima tapi saya ambil itu sebagai semangat untuk melonjak naik,” katanya.

2. Insiden Sabit Rumput Terbang

Menurut Shahidan, penglibatannya menerusi filem Telaga Suriram arahan Osman Ali merupakan detik paling cemas dan tidak dapat dilupakan.

“Ketika tu tengah panas. Masa tu ada adegan bergaduh bersama Nabila Huda dan Ellie Suriati semua dah praktis dah ketika itu.

“Tapi bila dah dalam set tu, salah seorang pelakon tu lupa step. Sepatutnya sabit itu dilayangkan di atas dulu, baru Elly tepis, tapi step tu terbalik jadi sabit tu terbang, saya pun berlari dan terkena saya.

“Ramai yang suruh saya minta pampasan, kalau tidak, pampasan dia dah berpuluh ribu sebab melibatkan muka, tapi saya pun masih baru ketika itu. Selesai mendapat rawatan di klinik, saya terus saya masuk set balik tapi shot saya diambil dari belakang.

“Ketika itu juga saya dipuji oleh Farid Kamil. Dia kata macam inilah hero dan bagi semangat kepada saya,” jelasnya.

Fatin Nurain