#ThrowbackXTRA: Siti Khadijah Kongsi Perkara Nakal Yang Pernah Dibuat Ketika Puasa

Terkenal dengan perwatakannya yang bersahaja, pelakon Siti Khadijah Halim sering menjadi tarikan dalam kalangan peminatnya setiap kali berkongsi sesuatu perkara menerusi media sosial.

Tidak mahu melepaskan peluang itu, kali ini segmen #ThrowbackXTRA tampil mengorek rahsia dan momen nakal yang pernah dilakukannya ketika bulan Ramadan.

Menurut Siti, dia bersama abangnya suka curi-curi makan kuih raya yang dibeli ibunya ketika sedang berpuasa.

Mengimbau semula momen tersebut, Siti kelihatan sangat terhibur dengan gelagatnya sendiri yang dikatakan nakal sewaktu kecil.

“Benda paling jahat saya pernah buat masa bulan puasa, paling jahat adalah sewaktu mak saya menjadi seorang guru dia ada beli kuih raya dari kawan-kawan dia.

“Lepastu kuih raya tu dia sorok tau dekat bawah singki, atas almari. So, saya dengan abang saya, kami tak puasa. Kami akan ambil kuih tu ambil satu. Kuih tu banyakkan, kalau ambil satu tak nampak kalau kurang. Pastu curi minum.

“Masa tu saya sekolah rendah dalam darjah lima ke enam. Bila dah berakal sikit kitorang tak buat dah, masaklah nanti kena bayar fidyah,” katanya.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Siti ketika ditemui di majlis Viu Together Gather di Pavilion Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Fatin Nurain