Tiada Jodoh, Perancangan Kahwin Azrel Ismail Musnah – “Mungkin Ada Yang Lebih Bagus & Sesuai”

Hasrat aktor, Azrel Ismail untuk mendirikan rumah tangga bersama wanita pilhan hatinya musnah apabila memaklumkan hubungannya bersama wanita tersebut sudah terlerai.

Menurut laporan Harian Metro, Azrel berkata perancangan kahwin tersebut terpaksa ditangguhkan dan kini kembali hidup solo.

“Mungkin kami tiada jodoh, dan sekarang pun saya tidak ada hubungan dengan sesiapa. Jadi rancangan untuk berkahwin itu akan ditangguhkan.

“Kami juga berpisah dengan cara baik dan tidak berlaku pergaduhan pun. Mungkin ada seseorang yang lebih bagus dan sesuai,” katanya.

Enggan episod lara terus menyelubungi diri, pelakon drama Melastik Ke Hatimu 2 ini akui masih mencari pilihan wanita yang sesuai dalam hidupnya.

“Memang saya ada ramai kenalan dan masih lagi dalam proses mencari. Cuma belum dapat putuskan pilihan tu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Azrel bersyukur karier lakonannya dalam keadaan baik biarpun ada persaingan dari bakat baharu.

“Buat masa sekarang saya hanya pergi ke acara-acara untuk memastikan ‘branding’ dan nama saya terus kekal dalam ‘market’.

“Karier sekarang baik je walaupun semakin ramai artis baharu yang masuk dalam bidang ni. Persaingan itu ada, tapi kita jalankan bahagian kita sebaiknya,” tutupnya.

Terdahulu, Azrel memaklumkan ada merancang untuk menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hatinya tahun depan.

Difahamkan, mereka sudah menjalinkan hubungan percintaan hampir setahun yang lalu.

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi