“Tiada Kaitan Dengan Orang Ketiga” -Zara Zya Nafikan Hubungan Bermasalah

Pelakon Zara Zya menafikan ikatan pertunangannya dengan pelakon, Hafreez Adam mengalami masalah walaupun mengakui mereka turut menghadapi cabaran dan dugaan seperti pasangan lain. 

Pernah ‘merajuk’ hampir dua minggu antara satu sama lain, Zara bersyukur masalah mereka dapat diselesaikan secara baik dan tidak berlanjutan sehingga memudaratkan hubungan. 

“Sama seperti pasangan lain, kami juga berdepan dugaan ketika menempuh alam pertunangan. Namun, ia sama sekali tiada kaitan dengan orang ketiga.

“Masalah timbul berpunca daripada diri kami.  Biasalah apabila mahu melakukan perkara yang baik, pelbagai ujian datang untuk menguji apakah kita kuat menempuhi atau sebaliknya,” kata Zara pada BH Online. 

Tambah Zara lagi, mungkin netizen membayangkan hubungan mereka bermasalah kerana jarang memuat naik gambar berdua seperti selalunya. 

“Ada pula membayangkan masalah kami berpunca daripada campur tangan orang ketiga.  Mungkin andaian itu timbul apabila kami jarang memuat naik gambar berdua. 

“Bagi saya, memadai orang tahu kami sudah bertunang, selebihnya biar saya dan Hafreez simpan sendiri.

“Dalam perhubungan, kepercayaan dan saling memahami sangat penting. Apa juga masalah perlu diselesaikan dengan matang. Ia membuatkan kita lebih memahami pasangan masing-masing,” katanya lagi. 

Zara juga tidak menolak kesibukan kerja dan kekangan masa untuk berjumpa menjadi salah satu faktor kenapa mereka berselisih faham. Bukan itu sahaja, malah Zara menambah masa untuk keluarga juga terbatas. Walau bagaimanapun pasangan ini sering berhubung melalui telefon. 

Zara dan Hafreez sewaktu hari pertunangan Oktober lalu.

Drama Monalisa gandingan Zara dan Hafreez menjadi titik perkenalan mereka pada 2017. Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu selama setahun dan majlis akad nikah akan dilangsungkan pada Oktober 2020. 

Baca: Selamat Bertunang, Zara Zya Dan Hafreez Adam Bakal Nikah Oktober 2020

Untuk berita terkini tentang kisah cinta, pertunangan dan perkahwinan selebriti tanahair mahupun luar negara, sila layari Mahligai Cinta !

Kredit Foto: Instagram @zarazya

Del14