Categories: HiburanSelebriti

Tolak Tawaran Bukan Sebab Anggap Diri ‘Legend’

Vokalis Black Dog Bone, Jatt Ali mengaku terpaksa menolak untuk menyertai pertandingan menyanyi sebelum ini bukan kerana menyifatkan dirinya seorang lagenda.

Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali memberitahu kesibukannya menyanyi di salah sebuah kelab di Singapura membataskan masa untuk menerima sebarang tawaran penyertaan pertandingan nyanyian.

“Sudah beberapa kali saya ‘dilamar’ untuk menyertai pertandingan nyanyian sebelum ini tetapi kerana komitmen kerja yang padat di Singapura membuatkan saya berfikir banyak kali.

“Saya juga mengambil kira banyak aspek sebelum berkata ya. Ini kerana seumur hidup saya, belum pernah saya menyanyikan lagu Rap. Saya bimbang jika saya menyertai pertandingan nyanyian, saya cemas sekiranya diberikan tugasan berkenaan.

“Tetapi selepas beberapa tahun, saya sudah bersedia untuk muncul di kaca televisyen semula sebagai salah seorang peserta program nyanyian,” katanya ketika ditemui di sidang media pengumuman peserta Gegar Vaganza 6, baru-baru ini.

Tambah Jatt, pada awalnya dia turut merahsiakan kedatangan ke Kuala Lumpur kali ini dari pengetahuan anaknya, Allisya Tahir.

“Saya cuma cakap pada Allisya, saya akan turun ke KL tetapi tidak beritahu mengenai penglibatan dalam GV6. Tetapi nampaknya Alisya dapat tahu lebih awal kerana dia juga mempunyai kenalan bekerja dalam industri,” katanya sambil ketawa. 

Allisya merupakan anaknya hasil perkahwinan terdahulu bersama pelakon dan penyampai radio, Sharifah Shahirah.

Oleh: Fas

SGMS Faida