Categories: DramaHiburan

Tonton Apa Hari Ni: ‘Bawah Blok’

Pengalaman hidup di rumah pangsa adalah pengalaman yang lain daripada yang lain – yang tahu je tahu. Namun, drama terbaharu Lestary yang berjudul ‘Bawah Blok’ mengetengahkan pengalaman ini.

Drama ini menyusuri kisah persahabatan lima remaja yang menetap di rumah pangsa kos rendah. Natrah (lakonan Amelia Christie), Kamil (lakonan Faiz Izzat), Devi (lakonan Preti Kaur), Zain (lakonan Ahmad Adly) dan Alana (lakonan Harissa Adlyn) adalah kumpulan yang sering menjadikan kawasan bawah blok di kawasan perumahan itu sebagai ‘port’ pertemuan mereka. Barisan pelakon berbilang bangsa ini juga menawarkan nilai bermakna kepada jalan cerita.

Pepatah mengatakan ‘Rambut sama hitam, hati lain-lain.’ Konsep itu juga dapat dilihat menerusi persahabatan mereka ini. Walaupun mereka tinggal di kawasan perumahan yang sama, setiap mereka mempunyai kisah hidup yang berbeza.

Mereka sering membuat perjumpaan di bawah blok itu untuk berbincang dan berkongsi masalah serta suka duka yang dialami.

Salah satu perjanjian yang telah dibuat oleh lima sekawan ini adalah untuk meneruskan tali persahabatan yang telah terjalin sejak mereka kecil lagi. Mereka juga telah membuat janji untuk tidak bercinta sesama mereka.

Namun, apakan daya. Soal hati bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk dikawal. Dalam diam, perasaan cinta telah mula terbit dalam kumpulan tersebut. Pastinya, ramai di luar sana juga pernah melalui dilema yang sama.

Saksikan perkembangan kisah lima sahabat ini dalam ‘Bawah Blok’ yang bersiaran pada jam 9 malam setiap Rabu hingga Sabtu hanya di TV3.

Afiqah Azizan