Tuah Alam Buat Remy Ishak Muda Semula

Pelakon Remy Ishak tampil berkongsi perasaan terujanya selepas empat bulan bergelar seorang bapa kepada anak lelakinya, Tuah Alam.

Menurut Remy, dia persis berada di dunia yang berlainan dan kembali muda semula selepas menjadi bapa.

“Selepas jadi bapa, rasa muda semula. Rasa macam saya rasa ada dunia baharu. Rasa kembali hidup. Dan, rasa kembali menjadi Remy Ishak,” katanya.

Memetik laporan Kosmo! Online, pelakon filem Pulang itu mendedahkan dirinya sering berasa tidak keruan bahkan berdepan dengan masalah kemurungan sebelum bergelar seorang bapa.

“Beberapa tahun sebelum kelahiran Tuah Alam, saya sendiri tak keruan. Tak pasti apa sebenarnya tujuan kehidupan.

“Bila lahirnya anak, saya rasa macam this is it (inilah dia). Kembali di trek yang sebenar.

“Saya telan realiti bahawa inilah kehidupan. Semua orang akan menjadi fasa yang sama. Bujang, berkahwin dan kemudian kalau ada rezeki, dapat anak.

“Orang kata kalau kahwin akan jadi macam ‘bapak-bapak’, tapi saya rasa macam jatuh cinta. Bila lelaki dah jatuh cinta bahaya sebab, dia boleh kuasai dunia (ketawa),” jelasnya.

Terdahulu, Remy telah mendirikan rumah tangga dengan Pengasas sebuah jenama kasut, Ezza Yusof pada 20 Ogos 2021.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Tuah Alam.

Sumber: Kosmo! Online

Fatin Nurain