Tujuh Tahun Bersama, Forteen Terkejut Dengan Tindakan Izzue Islam

Penyanyi Izzue Islam mengumumkan penarikan diri daripada kumpulan Forteen, semalam.

Keputusan Izzue bukan hanya mengejutkan peminat malah anggota Forteen sendiri.

Salah seorang anggota Forteen, Ariz Lufias mengaku ada timbul sedikit salah faham namun keputusan Izzue itu dianggap kurang bijak dan terburu-buru.

 “ Ini bukan gimik dan kami sangat terkejut. Memang ada sedikit insiden berlaku antara kami, tetapi untuk dia buat keputusan begitu tanpa berbincang adalah sesuatu yang mengejutkan.

“Lumrah sesebuah kumpulan muzik akan ada masalah dan salah faham. Cuma, sebelum ini, kalau ada apa-apa masalah, kami akan berbincang.

“Ini kerana kami sudah tujuh tahun bersama dan sudah macam adik-beradik,” katanya kepada BH Online.

Ariz berkata, anggota kumpulan itu digabungkan pada sesi uji bakat dan cukup mengenali antara satu sama lain.

“Kalau ada masalah, kami berbincang dan apabila timbul masalah kecil macam ini, ia cukup mengejutkan kami.

“Kami pernah tanya Izzue ketika bertarung dalam GV5, kalau ada masalah bagi tahu dan kita boleh berbincang.

“Setiap kali nampak dia lain macam, kami akan bertanya dan ajak berbincang. Kami sudah rancang macam-macam projek selepas GV5, tiba-tiba jadi macam ini,” katanya.

Akan bersemuka dengan vokalis itu, Ariz bagaimanapun berkata, dia dan teman-teman mahu memberi masa kepada Izzue untuk bersendirian dan bertenang.

Tambah Ariz, Forteen bagaimanapun akan bergerak secara bertiga membabitkan dirinya, One dan Ameer.

“ Kami akan bergerak bertiga… Sebelum ini, kami memang bertiga dan tak mustahil akan tambah ahli di masa depan,” katanya.

Ariz berkata, Izzue adalah vokalis utama kumpulan dan bakatnya sangat diperlukan.

“ Kalau Izzue anggap dirinya sudah tak ada fungsi dalam Forteen, mana mungkin dia mampu berada bersama kami selama tujuh tahun,” katanya.- BH Online.

SGMS Faida