Tular Video Dengan Seorang Jejaka Di Genting Highlands, Nabila Razali Tampil Beri Penjelasan – “Biar Orang Terus Berteka-Teki”

Penyanyi Nabila Razali memberitahu video tular bersama seorang jejaka di Genting Highlands tidak sepatutnya diperbesarkan.

Memetik laporan mStar, Nabila atau nama sebenar Nur Nabila Mohd Razali, 31, statusnya sebagai seorang selebriti membuatkan ramai orang ingin mengambil tahu mengenainya.

“Sebenarnya tiada isu pun saya mahu keluar dengan siapa sebab saya berkawan dengan ramai orang.

“Khai Bahar pun saya pernah keluar bersama, mungkin disebabkan saya selebriti maka apa saya lakukan akan menjadi perhatian ramai,” katanya.

Sementara itu, Nabila enggan mengulas lanjut tentang jejaka tersebut namun dalam nada bergurau mengakui sedang mengenali hati seseorang.

“Buat masa ini biarlah saya sahaja yang tahu. Biar orang terus berteka-teki.

“Saya tak boleh nak beritahu apa-apa sekarang. Mungkin juga gimik untuk lagu akan datang. Jadi teruslah ikut perkembangan kerjaya seni saya,” ujarnya.

Tambahnya lagi, buat masa ini dia tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menamatkan zaman bujang tetapi memberi fokus kepada karier.

“Sekarang ini saya hanya fokus diri sendiri dan kerjaya dahulu. Soal jodoh itu kita tidak tahu.

“Teruskan doakan yang terbaik. Saya juga berharap peminat terus memberi fokus kepada kerjaya seni,” jelasnya.

Maya Basir