Tutup Restoran, Ning Baizura Buka Sekolah Seni

Selepas penutupan restoran pada awal tahun ini, penyanyi Ning Baizura tidak mahu berputus asa dalam bidang perniagaan.

Terbaharu, penyanyi berusia 43 tahun ini bakal membuka sekolah seni & vokal yang dijangka bermula operasi pada awal tahun depan.

“Buat masa ini saya sudah mempunyai 15 orang pelajar dalam lingkungan usia dari 8 hingga 40 tahun.

“Kemungkinan besar, pusat itu nanti dijadikan sebagai one stop centre untuk belajar mengenai vokal, lakonan dan perkara asas mengenai dunia seni. Paling lewat mungkin selepas tahun baharu Cina, Insha Allah,” katanya bersemangat.

Tambah isteri kepada Omar Sharif Christopher Layton Dalton ini, sekolah seni itu bertempat di kawasan elit, Mont Kiara.

“Saya mahu jadikan ia sebagai pusat untuk kanak-kanak dan dewasa lebih kenal dan dekat dengan seni dan warisan. Contohnya mereka dapat belajar alat muzik tradisional. 

“Kalau boleh di masa akan datang, saya mahu lihat penyanyi yang lebih baik dari Ning Baizura, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan ramai lagi. Pelapis ini akan mengambil alih dunia seni di masa akan datang jadi di sini peranan saya untuk asah bakat dan kemahiran bakal pelapis,” katanya.

Sementara itu, Ning bakal sibuk di lokasi penggambaran filem Mahathir: The Journey bermula Januari ini.

Oleh: Fas

SGMS Faida