Ummi Nazeera Tarik Diri Muafakat Nasional, Mahu Fokus Pada Kerjaya & Keluarga

Pelakon Ummi Nazeera megumumkan bahawa dia menarik diri daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional (MN), hari ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin berkata keputusan tersebut dibuat berikutan kegusaran peminat-peminatnya.

“Setelah mengambil kira kegusaran dari peminat-peminat Ummi yang disayangi serta dari pihak berkepentingan, saya Ummi Nazeera mengambil keputusan untuk menarik diri dari Muafakat Nasional, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), jelasnya.

Tambah pelakon Rindu Kasih itu, dia akan terus memberi tumpuan pada karier seni dan keluarganya.

“Ummi akan terus fokus berkarya dalam industri seni dan juga fokus kepada keluarga Ummi.

“Terima kasih atas kesudian Muafakat Nasional melantik Ummi dan selamat maju jaya kepada mereka sebagai sebuah NGO.

“Terima kasih atas sokongan dan keprihatinan semua,” tutup Ummi.

Terdahulu, tular isu mengenai penyertaan Ummi dalam Muafakat Nasional sehingga menjadi perdebatan warganet.

Semalam, penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, mengumumkan pengundurannya dari Muafakat Nasional (MN) kerana berasa tidak sesuai dengannya.

Khamis lalu, Jamal Abdillah dan Ummi Nazeera adalah antara 30 individu yang dilantik sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN) oleh presidennya iaitu Tan Sri Annuar Musa.

Khairil Khusyairi