Uqasha Senrose Kecewa Disindir Individu Gara-Gara Belum Ada Zuriat

Pelakon jelita Uqasha Senrose tampil meluahkan rasa kecewa selepas disindir oleh seorang individu kerana masih belum memilik zuriat biarpun sudah dua tahun berkahwin.

Perkara tersebut telah diluahkan oleh Uqasha menerusi ruangan komen salah satu perkongsian yang dimuat naiknya di Instagram, baru-baru ini.

Tidak cukup dengan itu, individu tersebut turut menyindir perkara yang sama terhadap dua adik-beradiknya, Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose.

“Kesian, adik beradik takda anak lagi,” komen individu tersebut.

Terkejut dengan sindiran tersebut, Uqasha tampil membalas komen tersebut biarpun kecewa dengan tindakan individu berkenaan.

“Ya Allah, sedihnya. Boleh awak cakap macam ni? Tu rezeki dari Allah. Thank you so much. Masya-Allah, terima kasih banyak-banyak. Anak rezeki dari Allah,” katanya.

Bengang dengan sikap individu tersebut, rata-rata peminatnya tampil membela nasib pelakon itu dan mengecam semula pemilik akaun terbabit.

Namun, isteri kepada pelakon, Kamal Adli ini juga menasihatkan agar peminatnya mengendahkan komen individu tersebut untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Sebelum ini, Uqasha pernah mendedahkan dirinya telah mengalami keguguran sebanyak dua kali pada tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Terpaksa Jalani Pembedahan, Uqasha Senrose Keguguran Dua Kali – “Haid Datang Tak Berhenti…”

Fatin Nurain