Utamakan Ibu Bapa, Hafiz Mahamad Ingat Pesanan Isteri – “Happy Kan Mereka Dulu”

Usahawan dan pempengaruh terkenal, Hafiz Mahamad yang acap kali tular dengan kerja-kerja amal dan sifat rendah dirinya sekali lagi mencuri perhatian warganet.

Hafiz yang membawa kedua orang tuanya bercuti ke Switzerland, mengingati pesanan dari isterinya, Syafiqah Aina yang berpesan untuk membahagiakan ibu bapa terlebih dahulu barulah dirinya.

Menerusi hantaran yang dikongsikan di laman Instagram, Hafiz sedang sibuk merakam momen-momen terindah ibu bapanya sepanjang berada di Switzerland untuk dijadikan kenangan.

Entri tersebut meraih perhatian kerana kata-kata Hafiz di ruangan kapsyen yang memberitahu dia mahu membahagiakan kedua ibu bapanya dan sifat baik Aina dalam menyokong kemahuan suaminya itu telah dipuji wargamaya.

“Saya selalu cakap dengan isteri, doakan abang. Abang nak happykan mama dan abah.

“Aina selalu kata, abang selepas mereka pencen happykan mereka dahulu baru sayang. Apa abang nak hadiahkan dan kemana abang nak bawa sayang, jangan lupa bawa plan untuk mereka sekali.

“Sebelum ini, kalau nampak orang pergi travel or mana-mana, saya tak ada rasa teringin nak pergi sebab saya memang suka duduk rumah tapi bila bab keluarga, saya nak mereka merasa sebab nak cipta kenangan. Insya-Allah doakan anakmu,” tulis Hafiz.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan rasa gembira mereka melihat Hafiz bersama keluarga dan mendoakan ibu bapanya sentiasa sihat di bawah jagaan-Nya.

“Masya-Allah tabarakallah seronok tengok keluarga yang bahagia, semoga uncle dan aunty sihat selalu. Seronok tengok abang Hafiz dapat membahagiakan kedua orang tua. Saya tak berkesempatan nak buat macam abang buat,” tulis seorang warganet.

Ketika artikel ini ditulis, video tersebut telah menerima 40,000 tanda suka dan lebih 270 komen.

Halimey Zamal