[VIDEO] Anis Suraya Nyanyi Lagu Cinta Tersimpul Rapi Curi Tumpuan, Ramai Terubat Rindu – “Merdu Sangat Macam Dalam Recording”

Penyanyi popular era 90-an, Anis Suraya mencuri tumpuan warga maya di media sosial, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian di TikTok, seorang pengguna memuat naik sebuah rakaman video yang memaparkan Anis Suraya mendendangkan lagu hits nyanyiannya iaitu Cinta Tersimpul Rapi.

Lebih menarik, Anis Suraya atau Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman, mendendangkan lagu tersebut secara spontan di sebuah majlis.

Ternyata nyanyian ibu kepada lima cahaya mata itu memukau tetamu yang hadir dengan lontaran vokal yang cukup merdu.

“Ya Allah sedapnya suara sampai terketar-ketar saya ambil video. Terpukau dan terpesona.

“Anak gadis pun cantik sangat ikut ibu dia. Dapat pula suami handsome, penyayang dan supportive. You deserve all the appreciation.

“Kak Anis Suraya memang penyanyi wanita legend nombor satu Terengganu,” tulis individu tersebut teruja.

Nyanyian Anis Suraya tersebut ternyata mengubat kerinduan peminat untuk melihatnya kembali mengabdikan diri dalam bidang seni.

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian tersebut telah meraih lebih 1.2 juta tontonan dan 43,000 tanda suka.

Difahamkan kakak kepada penyanyi Shawn Baharin itu kini bergelar seorang pensyarah dan guru vokal di sebuah Universiti.

Anak perempuan sulung Anis iaitu Puteri Elisya Farzana yang berusia 16 tahun mewarisi bakat ibunda tersayang dalam bidang nyanyian.

Memulakan kerjaya sebagai penyanyi pada tahun 1996, Anis Suraya pernah merangkul gelaran Juara Voice of Asia 2000 sekaligus mengharumkan nama negara di bumi Kazakhstan.

Untuk info, Anis merupakan sepupu kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Mizan Al-Muktafi Billah Shah. Almarhum ayahanda, Yang Amat Mulia (YAM) Tengku Sri Laksamana Raja merupakan bapa saudara kepada KDYMM Tuanku.

Khairil Khusyairi