[VIDEO] Suntik Eleman Arab, Nafas Baru Lagu ‘Jika’ Versi Nuha Bahrin & Naufal Azrin Direstui Melly Goeslaw

Penyanyi tersohor Indonesia, Melly Goeslaw baru-baru ini meluahkan rasa teruja apabila tular lagu ‘Jika’ versi Nuha Bahrin dan Naufal Azrin di serata media sosial.

Melly menerusi sebuah hantaran di Instagram miliknya berkongsi sedutan nyanyian Nuha dan Naufal yang menterjemahkan lagu nyanyian asalnya itu ke dalam bahasa Arab.

“Terima kasih kerana hasilkan sebuah versi yang sangat bagus untuk lagu saya.

“Saya berharap versi ‘Jika’ anda akan mencipta rekod dalam sejarah industri muzik.

“Masya-Allah, biar 23 tahun usia lagu Jika, ia diberikan nafas baru lagi oleh penyanyi Malaysia @nuha_bahrin dan @naufalazrin Indah sekali,” luahnya.

Dalan pada itu, pelantun lagu Denting yang bakal mengadakan konsert di Malaysia ini mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya di tanah air.

“Terima kasih buat semua peminat dan pengkarya di Malaysia yang mengagumi lagu-laguku. Ini membuatkanku tidak sabar untuk beraksi di Malaysia kelak, Insya-Allah,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen, pelantun lagu Casablanca, Nuha turut meluahkan rasa terujanya apabila Melly ‘merestui’ versi lagu Jika berbahasa Arab itu.

“Ya Allah. Ini adalah satu penghormatan besar untuk kami dapat memberikan nafas baru dalam salah satu daripada banyak karya agung anda.

“Terima kasih kerana terus memberikan inspirasi kepada anak-anak muda seperti kami. Kami sayang anda!,” kata Nuha.

Bukan itu sahaja, lagu Jika versi Nuha dan Naufal juga menerima respons postif rata-rata peminat Indonesia khususnya Melly yang turut sama memuji lantunan suara pasangan duet ini.

Semasa artikel ini ditulis, video Jika versi Nuha dan Naufal meraih lebih 300,000 tontonan di aplikasi YouTube.

Aqilah Paharuzi