[VIDEO] Tak Tertekan Soal Jodoh, Elfaeza Ul Haq Syukur Dihindari Maksiat – “Saya Tak Gemar Lelaki Suka Saya..”

Bekas pelakon dan aktivis kemanusiaan, Elfaeza Ul Haq baru-baru ini mendedahkan kisah penghijrahannya kepada umum menerusi sebuah temubual bersama pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun.

Terkini, tular sebuah video di aplikasi TikTok memaparkan perbualan Elfaeza bersama Ustazah Asma’ berhubung soal perkahwinan dan jodoh.

Eifa adalah lambang wanita yang sabar dalam bab jodoh. Rupa ada, kerjaya ada. Dari segi zahir orang menilai semua lengkap pakejnya.

“Tapi kenapa tak nikah sedangkan sudah berumur 37 tahun? Rasa tertekan tak bila orang tanya?,” soal Ustazah Asma’.

Disoal sama ada dirinya tertekan apabila menghampiri usia 40 tahun namun masih belum berkahwin, selebriti yang berusia 37 tahun ini meluahkan rasa syukur apabila dilindungi oleh Allah SWT kerana terhindar dari melakukan maksiat.

“Nombor satu, kalau nak kata saya ni banyak tolak orang sebenarnya tidak. Malah, Saya bersyukur tak banyak orang yang cuba mendekati saya. Dari saya di usia muda saya bersyukur sebab rasa Allah melindungi saya daripada maksiat.

“Orang yang segan itu bagus. Saya tak suka bila lelaki suka saya. Bila ramai yang tanya tak ada ke orang nak merisik atau ajak berkenalan, memang tiada Alhamdulillah.

“Saya rasa lebih tenang, maknanya Allah melindungi dan buat rasa segan dekar hati lelaki-lelaki yang memandang tu,” katanya.

Menjengah ke ruangan komen video berkenaan, rata-rata golongan wanita menyokong pendapat peribadi Elfaeza mengenai jodoh dan perkahwinan.

Sementara itu, menerusi sebuah perkongsian di Instagram miliknya, Elfaeza berkata dirinya masih belum berniqab sepenuhnya.

Aqilah Paharuzi