[VIDEO] Terkesan Dengan Watak Dalam Rindu Kasih, Amyza Aznan Minta Jangan Hina Banduan – “Tak Dapat Bayang Kehidupan Realiti…”

Pelakon berkaliber, Amyza Aznan menjadi sebutan ramai selepas lakonan hebatnya dalam drama bersiri Rindu Kasih TV3 memberi impak kepada penonton.

Sementara itu, Amyza menerusi sebuah perkongsian video di Instagram miliknya mengakui membawa watak sebagai seorang banduan sangat memberi kesan dalam dirinya.

“Ya Allah, saya sendiri berlakon meraung tengok drama saya.  Tak dapat bayangkan bagaimana banduan-banduan yang melalui fasa ini dalam kehidupan realiti. Saya tak tahan,” luahnya.

Di kesempatan itu, Amyza turut meninggalkan pesanan kepada semua pengikutnya untuk tidak sama sekali memandang rendah kepada banduan.

“Nota kaki: Tiada siapa dilahirkan ingin menjadi banduan.. Kita hanya manusia lemah yang diuji oleh Allah SWT kerana sayang dan kasih pada hambanya. Jangan pandang hina, jangan menghukum ujian mereka,” katanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, ramai dalam kalangan netizen bersetuju dengan pandangan peribadi Amyza terhadap banduan yang diuji oleh Sang Pencipta.

Ada juga segelintir netizen dan rakan selebriti meluahkan rasa kagum serta memuji lakonan yang sangat berkualiti dalam drama ini.

Mereka turut suka melihat gandingan Amyza bersama pelakon dramatis, Ummi Nazeera yang menjadi anaknya itu.

Jangan lupa tonton drama Rindu Kasih di slot Samarinda TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10.00 malam atau strim secara langsung dalam HD di www.tonton.com.my

Aqilah Paharuzi