“Waktu Saya Pergi, Linda Masih Setia” – Kembali Rujuk Dengan Isteri, Beego Akui Belum Cukup Matang

Pelakon Beego menganggap perceraian bersama isteri, Linda Hashim pada awal tahun ini sebagai satu ujian buat mereka.

Memetik laporan Harian Metro, Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah memberitahu kejadian itu menyedarkan mereka untuk belajar berkomunikasi dengan jelas.

“Bila rumah tangga kita dalam keadaan goyah, satu akan pergi manakala satu lagi akan kekal. Waktu itu saya yang pergi dan Linda masih setia di situ.

“Linda minta saya kembali dan dia cakap sesuatu yang membuatkan saya tersedar untuk menyelamatkan rumah tangga.

“Ini bukan mengenai siapa salah atau siapa paling ego. Kita hanya perlukan seorang untuk berkata sesuatu kepada pasangannya.

“Pada akhirnya, yang akan melindungi keluarga kita hanya dua tangan kami sahaja. Tiada sesiapa boleh pecahkan keluarga kami. Jika kami tidak lindungi, siapa lagi?,” jelasnya.

Sementara itu, Beego akui tidak matang dalam menangani krisis rumah tangga namun bersyukur dengan tindakan mereka tidak menghebahkan kepada umum.

“Memang kami hanya diam-diam. Kami bukan berahsia cuma tidak suka menghebahkan. Orang dapat tahu pun apabila saya ada terserempak dengan Puteri Sarah semasa kesnya di mahkamah.

“Mungkin kami pun belum cukup matang dan inilah fasa yang perlu saya hadapi. Kami berpisah pun bukan sebab kewangan atau orang ketiga. Ia hanya masalah komunikasi,” ujarnya.

Untuk rekod, Beego dan Linda mengesahkan mereka pernah bercerai talak satu pada 27 Mac lalu namun rujuk semula ketika masih dalam edah pada 9 April lalu.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Maya Basir