Categories: Filem

Perspektif Pengarah: Nik Amir Mustapha Mengambil Inspirasi Kes Penipuan Untuk ‘Dalang’

Di sebalik tipu daya yang berleluasa di muka bumi ini, ada dalangnya. Kisah terbaharu yang dipaparkan di Tonton yang berjudul ‘Dalang’ memberi fokus kepada pemain di sebalik tabir ini.

Zain, seorang wartawan bebas, telah dimasukkan ke dalam lokap. Namun, tidak lama kemudian, dia mendapat ikat jamin oleh Ayu atas arahan pemimpin berpengaruh, Ikhlas. Pertemuan Zain dengan Ikhlas membawa kepada misi baharu baginya. Perkembangan perjalanannya lebih menarik dengan kemunculan Dato Pin dan misi pencarian gadis yang dikenali sebagai Nana. 

 

Menceritakan tentang inspirasi bagi kisah ini, pengarahnya, Nik Amir Mustapha, menyatakan bahawa ia “datang dari hasil bacaan kes-kes ‘scammer’ yang pernah berlaku di dalam negara dan juga keinginan untuk mendalami dan bermain dengan motivasi mangsa ‘scammer’ dan ‘scammer’ itu sendiri dalam sebuah cerita bertajuk Dalang.”

Selain kelainan dari segi jalan cerita, gaya penceritaan filem ini juga berbeza. Nik Amir berkata, “Ini kali pertama menghasilkan kerja yang pengarah dan pengarah fotografinya cuba untuk menerokai gaya yang luar kebiasaan bagi penggambaran teknikal normal yang memerlukan suntingan yang banyak.” Tambahnya lagi, “Jadi cabarannya adalah untuk menjadikan cerita ini boleh diterima penonton itu sendiri nanti.”

Apabila ditanya tentang pengalaman terindah sepanjang penggambaran filem ini, Nik Amir menjawab, “Pengalaman indah bila kita dapat lihat sendiri secara langsung proses para pelakon menghasilkan ‘chemistry’ persembahan mereka. Dari ‘pre-production’ hingga tamat penggambaran.” “Gabungan pelakon-pelakon otai kita (Arash Mohammad, Aziz M Osman, Imuda) berpadu dengan pelakon muda yang tidak kurang hebatnya (Liyana Jasmay, Luqman Hafidz, Wan Raja) berjaya menghasilkan detik-detik yang ‘rare’ dan magis.”

Mengakhiri temu bual, Nik Amir meluahkan harapannya tentang filem ini. Ujarnya, “Harapannya (adalah) agar para penonton juga dapat merasai sendiri keunikan Dalang ini dengan kaca mata mereka sendiri.”

Cerita Apa? ‘Dalang’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan