‘Watak Ecah Memang Wujud’- Norkhiriah Kongsi Pengalaman Sebenar

‘ Watak Ecah memang benar wujud dan saya pernah menyaksikan depan mata sendiri,’ kata pelakon Nurkhiriah menceritakan pengalaman mengenali wanita yang melalui nasib seperti karakter Aisyah dalam Nur 2.

Norkhiriah ketika ditemui di sesi jelajah Nur 2 di KLCC berkata dia tidak terkejut ketika membaca skrip dan diberikan watak seorang isteri naif yang ditipu suami.

“ Ia memang kisah realiti yang berlaku kepada kenalan terdekat saya. Bila lihat depan mata sendiri, saya tidak menasihatkan wanita itu untuk berpisah. Tak baik pula meruntuhkan rumah tangga orang tetapi saya doakan dia diberi petunjuk jelas mengenai situasi rumah tangganya.

“ Sebagai wanita, saya doakan dia terus kuat dan dikurniakan kebahagiaan. Mungkin mudah bagi saya untuk menasihat kerana tidak berada di tempatnya,” katanya kepada XTRA.

Sementara itu, Norkhiriah yang memainkan watak Aisyah dalam drama Nur 2 turut menitipkan pesan kepada wanita bergelar isteri yang teraniaya agar terus bangkit.

“ Bergaduh itu biasa, ia rencah dalam alam rumah tangga tetapi harus ingat, isteri bukan hamba. Dalam perkahwinan perlu ada komunikasi dan persefahaman.

“ Jangan disebabkan takut bergelar janda, maruah terus dipijak. Benar suami itu syurga bagi seorang wanita tetapi jika anda hidup seperti watak Ecah dalam Nur, saya harap anda kuat untuk bangkit,” akhirinya.

Noorkhiriah yang berkahwin dengan Azfaizul Ahtan pada 11 November 2006 bersyukur dikurniakan suami yang memahami dah hasil perkahwinan mereka, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata lelaki iaitu Muhammad Hudhaifah dan Muhammad Yusoff.

Oleh: SGMS Fas / Azroy

SGMS Faida