Watie Terima Tawaran Berlakon, Shuib Tak Beri Keizinan – “Awal-Awal Lagi Dah Ditolak”

Isteri kepada pelawak dan usahawan, Shuib iaitu Watie semakin mendapat perhatian dan memberitahu pernah mendapat tawaran untuk berlakon baru-baru ini.

Memetik laporan mStar, Watie atau nama sebenar Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 35, terpaksa menolak tawaran tersebut atas permintaan suami.

“Ada tawaran berlakon bersama Talita (anak Shuib). Tetapi awal-awal lagi dah ditolak oleh suami. Mereka dah berikan skrip tetapi saya terpaksa tolak.

“Shuib kata kalau buat review atau iklan boleh, tetapi tidak untuk sebarang program televisyen,” katanya.

Menurut Watie, anak tirinya iaitu Dzahira Talita Zahra, 9, mempunyai impian untuk menjadi seorang pelakon.

Meskipun pihak produksi bersetuju mengikuti jadual Talita, namun Shuib menasihati untuk tidak terima kerana tahu akan membebankan tenaga kerja di lokasi.

“Talita memang nak sangat berlakon. Tetapi suami tak mahu biasakan anak dengan dunia berlakon.

“Dia tahu bagaimana sibuknya menjadi seorang pelakon dengan jadual di lokasi. Walaupun produksi setuju ikut jadual Talita, ayahnya tetap berkata tidak,” ujarnya.

Sementara itu, Watie memberitahu masih membiasakan diri menjadi perhatian ramai dan biarpun ada segelintir yang kurang senang melihat kebahagiaan mereka, dia percaya yang penting adalah kegembiraan suami dan anak-anak.

“Tak kisahlah jika ada yang kurang suka dengan saya. Apa yang penting suami dan anak-anak suka. Saya tak boleh nak buat semua orang suka dengan saya.

“Saya pun malas nak fikir masalah lain. Lebih baik fokus kepada keluarga,” jelasnya.

Untuk rekod, Shuib dan Watie telah mendirikan rumah tangga pada 23 Jun lalu.

Hasil perkahwinan Shuib bersama Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2 tahun.

Maya Basir