#mentor7: ‘Ya, Saya Memang Kenal Datuk Syafinaz Sebelum Ini’ – Lazarul

Protege kepada Datuk Syafinaz Selamat, Lazarul mengaku mengenali mentornya sebelum menyertai program realiti Mentor 7.

Namun begitu, Lazarul atau nama sebenarnya Lazarul Afiezy Zakaria memberi penjelasan tiada sebab untuk dia merahsiakan hal ini kerana dia perlu berlaku jujur dengan penonton.

” Ya, saya kenal Datuk Syafinaz sekitar tahun 2010 dahulu kerana saya merupakan salah seorang anggota pasukan Koir Kebangsaan. Namun begitu, jangan salah faham…saya tidak berhubung dengan beliau selepas tidak lagi menyertai pasukan koir. Saya membawa haluan sendiri selepas itu dengan berniaga dan berkahwin. 

” Saya sedar ramai yang bertanyakan hal ini dan terbaca di blog-blog hiburan. Seperti orang lain, saya juga datang ke uji bakat dan mengikuti semua peraturan ditetapkan. Tiada istilah menggunakan kabel atau kroni dan sebagainya,” katanya kepada xtra.

Sementara itu, Lazarul reda dan akur dengan keputusan penyingkirannya, baru-baru ini.

” Saya seronok dapat membuat persembahan terbaik di konsert terakhir tempoh hari. Ini bukan titik noktah bagi perjalanan karier seni saya. Saya amat berterima kasih kepada keluarga, rakan-rakan dan tidak lupa kepada mentor, Datuk Syafinaz Selamat atas segala tunjuk ajar. Buat semua teman seperjuangan saya di Mentor 7, saya doakan yang terbaik untuk kalian,” akhirinya.

Empat protege iaitu Zaaim, Pasya, Ranisha dan Azmirul mara ke pentas akhir program realiti terbitan TV3, Mentor 7, Ahad ini. 

Dihoskan Nana Mahazan, Shuk dan Sarancak, Mentor 7 diadili juri tetap Datuk Wah Idris dan Mas Idayu yang mewakili 50 peratus undian.

Undian penonton di laman web www.xtra.com.my pula adalah 30 peratus dan 20 peratus lagi adalah juri awam.

SGMS Faida