Yusof Haslam Anggap Perceraian Syamsul & Puteri Sarah Bukan ‘Tiket’ Untuk Lepas Tanggungjawab – “Berbaiklah Demi Anak-Anak”

“Berbaik-baiklah demi anak-anak supaya mereka gembira dan tidak digores hati mereka selepas perpisahan kedua ibu bapa yang sudah berlaku”.

Demikian respons dari penerbit filem dan drama terkenal, Datuk Yusof Haslam selepas diajukan soalan berkenaan tindakan anaknya, Syamsul Yusof yang hadir dan meluangkan masa sempena hari sukan cucunya, Syaikhul dan Sumayyah baru-baru ini.

Menurutnya, tindakan tersebut adalah yang terbaik dan wajar dilakukan Syamsul sebagai seorang bapa, apatah lagi tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak bukan hanya terletak dibahu isteri semata-mata.

 “Ini tanggungjawab bersama. Perhatian dan tanggungjawab menjaga anak-anak bukan hanya dibahu bekas isteri semata-mata.

“Berbaik-baiklah demi anak-anak supaya mereka gembira dan tidak digores hati mereka selepas perpisahan kedua ibu bapa yang sudah berlaku,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Yusof dan isterinya, Datin Patimah Ismail bersyukur dan gembira melihat perkembangan terbaru Syamsul dan bekas isterinya, Puteri Sarah Liyana yang kelihatan semakin baik.

Bahkan, sebagai ibu bapa adalah tanggungjawab mereka mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya.

“Alhamdulillah syukur, kami gembira melihat sikap Syamsul yang utamakan anak-anak dan berbaik dengan bekas isterinya, Puteri Sarah.

“Inilah sikap yang pelru ada bagi setiap pasangan yang sudah bercerai.

“Kami sentiasa mendoakan Syamsul agar terus berjaya dalam karier seninya dan tabah menghadapi segala ujian kehidupan yang mendatang.

“Semoga dia terus berjaya dan tabah menghadapi setiap ujian yang datang kepadanya.

“Segala yang baik datangnya daripada Allah SWT dan segala kelemahan dan kekurangan serta keburukan itu pula datang daripada kami sendiri,” jelasnya.

Terdahulu, Syamsul menerusi hantaran di Instagram miliknya berkongsi momen ketika hadir ke hari sukan sekolah anak-anaknya.

Lebih manis, dia juga kelihatan memeluk erat serta mendukung kedua anaknya selain turut merakamkan gelagat Syaikhul dan Sumayyah sepanjang hari sukan berlangsung.

 

Sekadar info, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Bagaimanapun, pada 14 Jun lalu pasangan ini sah bercerai dengan talak satu selepas empat tahun berdepan kemelut rumah tangga.

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin