Selesai Duduki SPM, Zaki Yamani Mahu Sambung Belajar Dalam Bidang Muzik – “Saya Nak Belajar Cipta Lagu”

Penyanyi, Zaki Yamani meluahkan rasa lega apabila kini sudah tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Bercakap kepada XTRA, Zaki mengakui sudah mula merindui dan mengingati rakan-rakannya biarpun zaman persekolahan sudah tamat.

“Saya lega sangat bila dah habis SPM, cumanya saya dah mula teringat kawan-kawan, sedih juga sebenarnya.

“Saya akan sambung belajar dan dalam masa sama saya akan belajar sambil bekerja, ia perkara yang sama yang saya lakukan sebelum ini.

“Sementara nak tunggu keputusan SPM ini, saya akan buat ‘casting’ untuk lakonan dan menyanyi,” ujarnya ketika ditemui pada Karpet Merah Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38), pada Ahad.

Mengulas mengenai perancangan untuk menyambung pelajaran kelak, Zaki memaklumkan dia bakal mengambil bidang pengajian muzik.

“Saya akan ambil bahagian komposer, saya mahu belajar nak cipta lagu. Ada banyak bahagian sebenarnya seperti penciptaan lagu, penulis lagu dan berkaitan.

“Tengok keadaan bagaimana nanti. Tapi memang dalam bidang muzik,” kongsinya.

Dalam masa sama, anak kepada penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah ini turut mengakui sangat penting baginya untuk mempunyai kemahiran lain selain menyanyi.

“Ayah saya belum ada kata apa-apa lagi tetapi ibu saya dia lebih memilih saya untuk buat perkara lain.

“Contohnya saya libatkan diri dalam bidang penghasilan muzik seperti komposer, itu salah satu cabang lain selain menyanyi,” ujarnya lagi.

 

Khairil Khusyairi